Kenapa Bila Baca Novel Boleh “Teremosi”, Kenapa Tidak Bila Baca Al-Quran?

Pelik rasanya kan, kita mudah merasa kagum bilamana kita menjumpai sebuah buku yang nilai umurnya sudah 600 tahun. Tapi sedarkah kita di rak setiap rumah kita ada tersimpannya sebuah buku yang usianya sudah menjangkau 1440 tahun.

Pernahkah kita membaca novel? Atau jika tidak pernah, pasti kita ada dikalangan keluarga mahupun kenalan kita yang suka membaca novel kan? Bila kita membaca novel kita akan merasa pelbagai perasaan seperti hiba, teruja, sedih, marah dan sebagainya.

Ia adalah disebabkan karekter watak dan jalan penceritaan yang dibawa oleh penulis di dalam novel tersebut sangat mengujakan. Ia adalah perasaan yang normal yang akhirnya telah mengakibatkan pembaca tidak sedar bahawa mereka seperti menyaksikan peristiwa tersebut di hadapan mata mereka.

Tahukah anda, bahawa elemen-elemen yang ada dalam novel sebenarnya ada di dalam Al-Quran. Wow, benarkah? Ya, watak yang dikemukakan di dalamnya adalah sebaik-baik watak, jalan cerita yang dibawa di dalamnya adalah sebaik-baik cerita, dan penulis kitab ini juga adalah sebaik-baik penulis.

Jadi, tanpa berlengah lagi ayuh habiskan pembacaan artikel ini untuk mendapatkan jawapan dari persoalan ini.

Sebelum saya menjawab soalan ini, ada baiknya kita mengenali serba-sedikit kitab yang merupakan sebaik-baik buku yang pernah terhasilkan di dunia ini. Al-Quran adalah merupakan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW setelah baginda ditabalkan sebagai rasul pada usia 40 tahun di gua hira’.

Al-Quran diturunkan selama 23 tahun, 13 tahun daripadanya sebelum hijrah dan bakinya diturunkan selepas hijrah. Serta 1/4 dari intisari Al-Quran adalah kisah.

Jadi, kenapa agaknya kita tidak beremosi ketika kita membaca Al-Quran? Kadang-kadang boleh juga kita teremosi dengan alunan bacaan yang mengasyikkan dari sheikh-sheikh di negara timur tengah, tapi ia tidak cukup menjadikannya melekat di hati kita. Kenapa ya?

Secara mudahnya jawapan tersebut adalah disebabkan kita tidak faham apa maknanya isi kandungannya. Al-Quran fungsinya tidak sekadar untuk dibaca bahkan lebih-lebih lagi ia adalah untuk difahami.

Ramai orang yang baru memeluk agama ini yang mengenali Al-Quran dahulu sebelum mengenali penganutnya. Justeru, usah kita meragut lagi fungsi dan tujuan matlamat Al-Quran diturunkan. Tambahan lagi, istilah Al-Quran diturunkan itu juga merupakan simbolik ia dari tempat yang tinggi menuju ke tempat yang rendah.

 Bermaksud ia bersifat mulia diberikan kepada orang yang biasa untuk dimuliakan. Buktinya Nabi Muhammad SAW dimuliakan kerana Al-Quran diturunkan padanya & bulan Ramadhan dimuliakan kerana diturunkan di dalam bulan tersebut.

Bagi saya, langkah untuk menjadikan pembacaan Al-Quran lebih beremosi selain dari memahami isi kandungannya, kita perlu mengikuti beberapa langkah tersebut ini bagi memastikan pembacaan Al-Quran selepas ini lebih beremosi dan mengujakan iaitu tahu watak apa yang kita mahukan, masalah apa yang kita cari, dan lihat apa solusi yang diberikan.

Pertama, pilih apa watak yang kita mahu contohi di dalam Al-Quran sama ada ia seorang bapa seperti nabi Nuh, nabi Ibrahim, nabi Yaakob, nabi Daud mahupun bukan nabi seperti Luqman Al Hakim. Jika kita mencari watak ibu kita ada kisah ibu nabi Musa, ibu Maryam dan Maryam.

Jika kita mencari watak remaja kita ada kisah ashabul kahfi, ghulam dalam surah Al-Buruj, nabi Ibrahim ketika mendepani namrud, nabi Yusuf ketika mendepani ibu angkat dan para wanita di Mesir dan jika kita mencari watak isteri mahupun anak kita ada watak yang baik dan jahat.

Watak yang baik seperti isteri Firaun dan isteri nabi Ibrahim manakala watak jahat seperti isteri nabi Nuh, isteri nabi Lut, isteri Abu Lahab dan watak anak yang baik seperti kisah nabi Ibrahim, nabi Ismail, nabi Sulaiman, nabi Yusuf, kakak nabi Musa manakala watak anak yang jahat seperti kisah anak nabi Nuh, anak nabi Adam dan anak-anak nabi Yaakob. Justeru, pilih lah watak apa dan langkah seterusnya adalah …

Masalah apa yang kita hadapi. Setiap dari kita tidak pernah tidak, pasti menghadapi masalah dalam hidup dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besar masalah. Allah sentiasa tahu apa yang hambanya perlukan, hanya kita yang sedar atau tidak akan perkara tersebut.

Pelbagai watak yang Allah ceritakan ada masalah yang mereka hadapi seperti salah faham adik-beradik sehingga ke tahap menjadi buruan untuk dibunuh. Maka dengan sebab itu, benarlah Allah memahami permasalahan diri kita. Dan langkah yang berikutnya…

Lihat apa solusi yang dikemukakan. Setiap penyakit ada ubatnya dan setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Langkah terakhir, ambil tahu bagaimana Allah merungkai masalah tersebut. Ada yang kisah di dalam Al-Quran Allah selesaikan masalah sekelip mata, ada kisah yang Allah selesaikan memakan masa.

 Justeru, ia adalah gambaran hidup kita, mehnah dan tribulasi sentiasa akan dihadapi, motivasi dalam kehidupan perlu dimiliki dan penyelesaian atas masalah perlu diambil iktibar supaya diri kita menjadi semakin baik dan mudah-mudahan Allah redha dengan sepanjang perjalanan dalam kehidupan kita ini. Ingat bahawa Allah tidak pernah meninggalkan kita.

 Kesimpulannya, sekiranya kita mengubah perspektif pandangan kita terhadap Al-Quran ia akan menjadi sesuatu yang pasti kita sukar meninggalkannya. Novel hanyalah sekadar cerita fiksyen yang sekadar imaginasi dari penulis tetapi kisah Al-Quran bukan cerita fiksyen bahkan ia benar-benar berlaku yang dikisahkan oleh Allah supaya menjadikan panduan kepada kita dan boleh dibuktikan dengan pengkajian mengenainya.

Sekarang tahulah kita bahawa Al-Quran tidak membosankan, bahkan ia melengkapkan fungsi hidup kita dan berterusan lah ia dikaji dan dikaji, terus dikaji sehingga ke hari kiamat.

Sheikh Sulaiman Bin Sheik Harun
Founder Modul “Mudahnya Faham Al-Quran”